Tazkirah Idulfitri 1428H

Aidil Fitri: Sambut Kemenangan @ Sambut kedatangan syaitan?

Salam ramadhan mubarak. Syawal sebulan kan, jadi ada baiknya kalu kita buat sedikit muhasabah ramadhan sebelum kita masuk ke gerbang madrasah ramadhan akan datang (moga kita masih dikurniakan kesempatan).

Idul Fitri adalah hari umat Islam menyambut kemenangan setelah sebulan berpuasa dan bermujahadah melawan hawa nafsu. Hari ini juga diistilahkan sebagai hari berbuka puasa bagi umat-umat Islam yang berpuasa di sepanjang bulan ramadhan. Dalam kegembiraan & ketidaksabaran kita menanti tibanya lebaran, adalah baik jika kita mengetahui terlebih dahulu cara - cara untuk menyambut kedatangan 1 Syawal, insyaAllah selepas pukul 7.15 petang (mengikut waktu tempat masing-masing). Di sini digariskan dua cara yang diajarkan oleh para ulama'...

Malam 1 Syawal

Antara perkara-perkara yang disunatkan untuk kita lakukan dalam menyambut ketibaan satu Syawal ialah;

  1. Melaungkan takbir sebagai tanda kebesaran Allah S.W.T. Banyakkanlah bertakbir dan memuji kebesaran Allah,Tuhan yang empunya segala ni'mat. Tidak kira dalam apa jua keadaan/pekerjaan kita malam tu, kita disunatkan memperbanyakkan laungan takbir. Sambil-sambil memasang langsir/mengacau dodol/masak ketupat/buat kuih/sambil-sambil nak sembelih ayam ke..sunat kita melaungkan takbir. Takbir dibahagikan kepada dua :
    1. Takbir Mutlaq = Takbir yang tidak dikaitkan dengan masa. Sunat bertakbir bila-bila masa
    2. Takbir Muqayad = Takbir yang dikaitkan dengan masa. Contoh, sunat bertakbir selepas jatuh matahari 30 ramadhan.
  2. Menghidupkan malam satu Syawal dengan memperbanyakkan solat-solat sunat seperti solat sunat tasbih, solat sunat witir, solat sunat tahajjud dan solat-solat sunat yang lain. Malam satu Syawal adalah di antara malam-malam yang mempunyai banyak fadhilat dan keberkatan.
  3. Memperbanyakkan doa-doa untuk kebaikan dan kebajikan. Malam 1 Syawal adalah di antara malam(waktu) yang mustajab doa.
  4. Sunat menghiasi rumah agar kelihatan bersih dan indah.
1 Syawal

Pada hari 1 Syawal, kita disunatkan;

    1. Bangun awal daripada tidur.
    2. Mandi sunat Hari Raya
    3. Membayar zakat bagi yang belum bayar zakat (antara waktu terbenam matahari akhir ramadhan sehingga sebelum selesai solat Idil Fitri,adalah masa yang sunat untuk membayar zakat fitrah)
    4. Menunaikan solat Idul Fitri berjemaah
    5. Menjamu makanan kepada orang lain. Contoh, menghidangkan makanan kepada tetamu.
    6. Berziarah. Afdhal kita dahulukan menziarahi rumah orang yang penting dalam hidup kita seperti
      1. Rumah ibubapa(bagi mereka yang tidak tinggal serumah dengan ibubapa)
      2. Guru-guru agama(orang yang mengajarkan agama kepada kita seperti orang-orang alim, tok-tok guru, ustaz-ustaz dan sebagainya)
    7. Bersedeqah. Sunat memperbanyakkan sedeqah sama ada dgn duit atau barang-barang lain. Di sini dijelaskan amalan memberi duit raya sebenarnya adalah amalan bersedeqah seperti yang diajarkan oleh ulama-ulama terdahulu.
      1. Cara yang betul ialah ketika kita nak beri duit raya,kita niatkan 'aku beri sedeqah kerana Allah' supaya amalan tu dikira ibadah dan mendapat pahala.
      2. Perlu juga diingat bahawa menurut qaul mu'tamad,kanak-kanak yg belum baligh tidak sah menerima harta kerana antara syarat-syarat sah seseorang mentasaruf (mengelola) harta ialah dia hendaklah baligh (sempurna aqal). Sepatutnya duit raya tu kita beri kepada walinya (ibubapa) sebagai wakil kepada kanak-kanak tersebut. Walaubagaimanapun, ada qaul dhoif daripad a Imam Ramli (mazhab Syafie) yang mengatakan harus memberi sesuatu harta kepada kanak-kanak yang belum baligh.
    8. Memakai pakaian baru dengan niat kerana Allah @ niat untuk menzahirkan ni'mat Allah yang dimilikinya.

Sedikit tambahan, Nabi dan para sahabat ketika bertemu pada hari raya,mereka saling mendoakan antara satu sama lain. Nabi mendoakan "Tabaarakallahu minkum" kemudian disahut pula oleh para sahabat dengan "minna wa minkum taqabbal yaa Karim". Jadi adalah lebih elok jika kita amalkan sunnah ini, ketika bertemu selain mengucap 'selamat hari raya maaf zahir & batin', kita iringi juga dengan doa.

  • Amalan2 yg bercanggah dgn ajaran Islam

Antara amalan menyambut raya yang bercanggah dengan ajaran Islam ialah;

  1. TV menyediakan program-program hiburan yang haram. Malah sesetengah masyarakat, ada yang mengisi hari raya dengan menonton rancangan-rancangan TV secara berjemaah (sekeluarga). Ada juga yang mengisi raya dengan pergi ke pawagam-pawagam menyaksikan filem-filem terbaru sempena hari raya.
  2. Hari raya disambut dengan letupan mercun. Ini adalah bercanggah dengan cara-cara yang digariskan di atas kerana bermain mercun melalaikan bahkan mengganggu ketenteraman jiran tetangga. Lebih teruk lagi boleh mudharatkan diri. Kita sebenarnya telah terpengaruh dengan budaya perayaan Tahun Baru Cina.
  3. Ikhtilat (pergaulan bebas) antara lelaki dan perempuan yang harus berkahwin(bukan mahram).
    1. Bersalaman antara lelaki dan perempuan bukan mahram
    2. Beraya/berziarah secara berombongan antara lelaki dan perempuan bukan mahram. Kebanyakan rumah-rumah juga tidak mengasingkan kawasan antara tetamu lelaki dan tetamu permpuan yang bukan mahram. Contohnya rombongan muda-mudi/kawan-kawan sekelas dan sebagainya.
    3. Berpakaian dengan niat utk menunjuk-nunjuk (riya' ). Bahkan seolah-olah sudah menjadi satu budaya, hari raya menjadi hari untuk melaram sakan/bertabarruj bagi kebanyakan orang. Agak2nya kita beli/tempah baju raya yang lawa2 tu untuk apa? betulkan niat..

Akhir kata, sambutlah 1 Syawal ini dengan penuh kesederhanaan dan keinsafan. Kita telah meninggalkan satu bulan penuh berkat, yang dikhususkan oleh Allah untuk kita beribadah. Janganlah 1 Syawal yang merupakan hari kemenangan kita melawan hawa nafsu ini, kita cemari dgn amalan-amalan yang lagha bahkan bercanggah dengan garis panduan syariat. Ingat, syaitan sudah lama menanti-nantikan saat dia dibebaskan supaya dia dapat meneruskan kerja-kerja menyesatkan umat manusia. Kalu kita tidak beringat-ingat dalam menyambut hari raya, kita akan karam dalam tipu daya nafsu ammarah bi su' (nafsu yang mengajak kepada kejahatan).

Seumpama seorang ketua mafia yang dibebaskan daripada penjara, kemudian kedatangannya disambut dengan meriah oleh geng rapat dan anak-anak buahnya. Begitu juga syaitan(kepala kejahatan), alangkah gembiranya dia bila melihat keadaan umat manusia walaupun dengan ketiadaannya di bulan ramadhan, manusia masih hanyut dengan hawa nafsu sehinggalah menjelang syawal (saat syaitan dibebaskan daripada belenggu malaikat).

Tabarakallahu minkum.

Selamat Hari Raya.....minta maaf banyak-banyak kepada sahabat-sahabat yang terasa hati, teraniaya/ terpukul/ tersakiti oleh ana. Minta halal apa yang terambil haq tanpa izin... mana2 yg ana berhutang tu minta tuntut segera sebab ana memang jenis pelupa. Tak pun halalkan saja (he2...ha2)

__._,_.___

 

0 comments: