PERMAINAN KUTU

Permainan Kutu & Cabutan Gilirannya

( Versi Kemaskini pada 17 April 08 )

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/


Baru-baru ini saya menerima satu soalan berkenaan dengan skim kutu dan hukumnya dari sudut Islam. Soalannya seperti berikut :-

Ustaz, saya nak tanya tentang permainan kutu. sekali pandang nampak halal. ok begini

Pekerja office saya ada membuat \"main kutu\". satu kepala atau seorang RM100 seramai 11 orang jadinya setiap orang akan dapat 1100 (100 duit sendiri) tiap bulan. Yang jadi masalahnya tiap bulan cabutan akan dibuat, siapa dapat happy la..

Saya melihat disini ia ada unsur judi, sebab sebelum cabutan-cabutan mengharap nasibnya akan kena, jadi saya fikir kalau dibuat cabutan number giliran yang dah tetap siapa yang dapat tiap bulan sebagai contah mamat bulan jan, abu feb, ali mac dan seterusnya itu adalah harus.

Saya harap sangat komen ustaz. namun jika pendapat saya tu betul alhamdullilah, ini bermakna saya faham setelah membaca buku uzar tulis

Sebelum saya menghuraikan hukumnya pada sudut pandangan Islam, terlebih dahulu ada baiknya kita melihat tafsiran 'kutu' menurut AKTA 28 AKTA (LARANGAN) KUMPULAN WANG KUTU 1971 , ia ditafsirkan sebagai :

"kumpulan wang kutu" ertinya rancangan atau perkiraan yang dikenali dengan berbagai-bagai nama sepeti kutu, cheetu, chit fund, hwei, tontine atau sebagainya yang menurutnya peserta-pesertanya membayar yuran berkala atau selainnya kepada suatu kumpulan wang bersama dan kumpulan wang bersama itu dijual atau dibayar kepada peserta-peserta dengan jalan lelong, tender, tawaran, undi atau selainnya dan termasuklah apa-apa rancangan atau perkiraan daripada berbagai-bagai jenis seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei atau tontine

Hukum dari sudut Undang-undang Malaysia

Setelah meneliti akta yang berkaitan, jelas termaktub seperti berikut :-

Seksyen 3. Salah di sisi undang-undang menjalankan perniagaan menganjurkan wang kutu.

Maka adalah salah di sisi undang-undang bagi sesiapa menjalankan perniagaan menganjurkan wang kutu dan seseorang yang menjalankan perniagaan itu adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Justeru, amat jelas lagi bersuluh kegiatan skim simpanan kutu ini adalah salah dan tidak dibenarkan di sisi undang-undang.

Tinjauan Shariah

Untuk menentukan hukum Shariah adalah amat mudah dalam hal yang telah diputuskan 'salah' oleh undang-undang negara. Selagi mana peruntukan undang-undang itu tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Al-hadis, ia akan diiktiraf sebagai haram juga di sisi Shariah.

Namun jika anda ingin memahaminya skim kutu ini dari sudut proses dan caranya , sama ada ia diterima oleh Shariah atau tidak. Setakat info yang diberikan dan juga menurut pengetahuan saya berkenaan skim 'kutu' ini, secara dasarnya saya lihat urus aturan 'kutu' ini adalah harus. ( Namun keharusan ini telah dibataskan oleh akta wang kutu di atas tadi)

Ini adalah kerana sebenarnya wang diperolehi oleh seseorang itu hanyalah wangnya sendiri yang terkumpul pada masa akan datang, cumanya keistimewaannya apabila tiba gilirannya maka sebagai ahli dia akan dapat menggunakannya secara 'in advance' disebabkan sumbangan wang dari semua ahli kumpulan. Pembayaran 'In advance' ini dari sudut Islam dilihat sebagai pinjaman tanpa faedah dari semua ahli kumpulan.

Bermakna, setiap bulan semua ahli kumpulan akan menyumbangkan pinjaman yang mana wang pinjamannya itu akan kembali padanya apabila tiba gilirannya.

Namun demi memastikannya halal, perlulah memastikan semua ahli kumpulan boleh dipercayai, dikenali dan membuat aqad bertulis bagi protect kemaslahatan semua. Tanpanya, permainan terdedah kepada penipuan dan gharar.

Bayangkan zaman hari ini, orang yang nampak baik pun liat nak bayar hutang.

Kesimpulannya, skim 'kutu' antara sesama rakan yang dipercayai dalam jumlah yang terhad dan munasabah serta bertulis adalah harus disebabkan ia hanyalah aktiviti pinjam meminjam.

Aktiviti saling memberi pinjam dengan nilai dan jumlah yang sama adalah harus. Antara hujjah saya adalah seperti berikut :-

Pertama : Keharusan kaedah :-

أسلفني وأسلفك

Ertinya : "Kamu pinjamkan kepadaku nescaya aku juga akan meminjamkan kepadamu kelak" (Mawahibul Jalil, Al-Hattab, 4/395)

Menurut mazhab Maliki, konsep ini dianggap makruh apabila ia memberikan manfaat kepada yang pemberi hutang lalu ia haram, tetapi jika manfaat diperolehi oleh peminjam ia adalah harus.

Namun dalam bab ini kedua-dua pihak mendapat manfaat yang sama rata. Justeru ia sewajarnya diharuskan. Inilah yang diperolehi dari skim 'kutu' ini.

Kedua : Tidak termasuk dalam bentuk faedah yang dilarang.

Kebanyakkan ulama berpendapat bahawa tindakan ini adalah harus di sisi Syariah atas sebab ia tidak termasuk dalam pinjaman dengan faedah yang dilarang oleh Shariah. Jumlah dan tempoh pinjaman juga adalah serupa. Ini menjadikannya tiada sebarang lebihan manfaat yang boleh menjadikannya haram.

Manakala syarat untuk memberi pinjam semula tadi, jikapun ia dianggap sebagai satu manfaat namun ia adalah manfaat yang sama kepada dua-dua pihak dan bukan hanya satu pihak yang boleh membawa penindasan. Ia juga boleh dilihat dalam isu ‘Suftajah'. Demikian menurut pendapat Ibn Qudamah, Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim. Malah diperjelaskan lagi oleh Prof. Dr Nazih Hammad (Qadhaya Fiqhiyyah Mu'asiroh fi iqtisad wal Mal, Nazih Hammad, hlm 230)

Ketiga : Riba diharamkan disebabkan kerana zalim yang berlaku ke atas satu pihak.

Namun di dalam hal ni tiada sebarang kezaliman berlaku kerana kedua-duanya mendapat jumlah, dan tempoh yang sama, cuma di waktu yang berbeza sahaja.

Ibn Qayyim berkata :-

والشارع نهي عن الربا لما فيه من الظلم

Ertinya : "Shariah melarang riba disebabkan kerana kezaliman yang terdapat padanya" ('I'lam al-Muwaqqi'en, 1/386)

Adapun persepakatan dalam pinjaman berbalas dengan jumlah dan tempoh sama ini tiada terkandung di dalamnya sebarang zalim kepada mana-mana pihak. (Qadhaya Fiqhiyyah Mu'asiroh fi iqtisad wal Mal, Nazih Hammad, hlm 231)

Perihal Cabutan Untuk Menentukan Giliran

Tepat sekali, permainan 'kutu' akan menjadi semakin bersih dan baik jika giliran telah ditentukan dari awal agar semua pihak tidak tertunggu-tunggu.

Namun, setakat pengamatan saya berdasarkan perbincangan para ulama berkenaan asas 'undian' atau disebut dalam bahasa 'Arab sebagai Qur'ah boleh dilakukan apabila semua pihak mempunyai hak yang sama untuk terpilih. Hukumnya adalah harus dan tiada unsur judi di situ. Nabi Muhammad SAW juga pernah mencabut undi untuk melihat siapa dari kalangan isterinya yang akan terpilih untuk bermusafir bersama baginda SAW.

Kesimpulan

Jika dilihat dari sudut proses dan perjalanan skim kutu ini semata-mata, ia adalah harus menurut pandangan Islam, namun diwaktu wujudnya akta rasmi yang melarang. Ia secara rasminya dianggap haram dari sudut hukum Islam atas dasar "kewajiban taat kepada pemerintah dalam hal yang tidak berkait dengan maksiat dan demi kemaslahatan umum yang dilihat oleh pemerintah".

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

0 comments  

Filem Fitna: Itu FITNAH


Salam ni antara ulasan Ustaz Hasrizal mengenai filem Fitna, ana harap ia dapat jadikan sebagai bahan usrah untuk kita. Klik sini

Okey maybe Usrah kita akan diadakan selepas 2 minggu ni, semua ahli harap bersabar kerana kita bertembung dengan program Kem Perkaderan remaja Islam 29-31 Mei & Sehari Bersama WaJA 6 Jun . Harap Maklum

0 comments  

Kenangan Tamrin Darussalam 2008

A Picture Worth Thousand Words :
Adik-adik banin berusaha mengotakan resolusi diri masing-masing...



Terima kasih kepada semua yang terlibat
mencurahkan masa, ilmu dan tenaga.




@nggaya

0 comments  

CARA BERINTERAKSI YANG DIGALAKKAN


Begitu banyak buku-buku popular mengenai pengembangan diri, seperti karangan Dale Carnegie 'How to Win Friends & Influence People' atau John C. Maxwell '25 Ways To Win With People' atau Stephen R. Covey dengan 'The 7 Habits of Highly Effective People' atau berbagai terbitan Gramedia lainnya seperti 'Cara memperingkatkan kemahiran Komunikasi Anda'.

Bagaimana cara ‘hidup lebih baik’ dengan membina hubungan yang baik dengan orang lain di sekitarnya, begitulah ungkapan yang disampaikan. Bagaimana cara berinteraksi dengan orang lain, mengasah kepekaan emosional, bertoleransi, selalu bersikap positif, tips-tips mendapat dan mempengaruhi teman, cara berkomunikasi yang baik, memahami lebih dahulu, dan sebagainya.

Menariknya, Islam sebagai agama yang sempurna, sudah mengajarkan semua itu, dengan Rasulullah SAW sebagai model utamanya. "Innama bu'itstu liutammima makaarimal akhlaq" - "Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlaq", demikian sabda Rasulullah SAW. Akhlaq dalam seluruh bidang kehidupan. Bagaimana berinteraksi dengan orang tua, dengan sanak keluarga, dengan tetangga, dan seterusnya. Rasulullah SAW mengajar bagaimana cara berinteraksi dengan sesama muslim juga.

Pertama, mencintai muslim lain sebagaimana mencintai dirinya sendiri:
"Tidak beriman salah seorang di antara kamu sampailah dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri" (HR. Bukhari & Muslim)

Menyukai apa yang disukai muslim lain sebagaimana dirinya menyukai apa yang dia sukai, dan membenci apa yang dibenci muslim lain sebagaimana dirinya membenci apa yang dia benci:
"Perumpamaan orang-orang mukmin dalam berkasih sayang dengan sesama mereka seperti satu tubuh. Jika salah satu anggota tubuh sakit, maka seluruh tubuh akan merasakan baik (sakit) demam dan tidak bisa tidur" (HR. Bukhari & Muslim)

Seorang muslim itu tidak menyakiti muslim lain dengan perbuatan atau perkataan:
"Seorang muslim adalah orang yang muslim lainnya selamat dari gangguan lidah dan tangannya" (HR. Bukhari & Muslim)

Hendaklah bersikap tawaduk kepada setiap muslim dan tidak sombong kepadanya:
"Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku hendaklah kamu tawaduk sehingga tidak ada orang yang membanggakan diri kepada yang lain" (HR. Abu Dawud & Ibnu Maajah)

Tidak menyampaikan berita atau mengadu domba kepada sebahagian yang lain tentang apa yang didengarnya daripada sebahagian yang lain:
"Tidak akan masuk Syurga orang yang suka mengadu domba" (HR. Bukhari & Muslim)

Apabila marah kepada seseorang, maka tidak boleh menghindarinya lebih dari tiga hari:
"Tidak boleh seorang muslim menghindari saudaranya lebih dari tiga hari, keduanya saling bertemu lalu saling berpaling. Sebaik-baik orang di antara keduanya adalah orang yang memulai mengucapkan salam" (HR. Bukhari & Muslim)

Melakukan kebaikan kepada setiap muslim semampunya dengan tidak membezakan antara keluarga dan yang bukan keluarga:
"Abu Hurairah ra berkata bahawa Rasulullah SAW tidak pernah berbicara dengan seseorang melainkan beliau menghadapkan wajahnya ke wajah teman bicaranya lalu Rasulullah SAW tidak akan berpaling dari wajah seseorang sebelum dia selesai berbicara" (HR. Ath-Thabrani)

Tidak masuk ke rumah muslim lain tanpa meminta izin. Jika sampai tiga kali tidak diizinkan, maka harus kembali (pulang):
"Meminta izin itu tiga kali. Yang pertama untuk menarik perhatian tuan rumah, kedua memperbaiki, dan ketiga agar memberi izin atau menolak" (HR. Bukhari & Muslim)

Menghormati orang tua dan menyayangi anak-anak:
"Tidak termasuk dalam golongan kami orang yang tidak menghormati orang tua dan tidak menyayangi anak kecil" (HR. Bukhari & Abu Dawud)

Selalu memberikan kegembiraan, bermuka manis, dan bersikap lembut kepada semua muslim:
"Tahukah kamu kepada siapa api neraka diharamkan?" Para sahabat menjawab, "Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui". Lalu Nabi SAW bersabda, "Kepada orang yang lemah lembut, yang selalu memudahkan, dan selalu dekat (akrab)" (HR. Tirmidzi)

Janganlah berjanji kecuali bermaksud menepatinya:
"Ciri-ciri orang yang munafik itu terbahagi kepada tiga; apabila berbicara dia berdusta, apabila berjanji dia mengingkari, dan apabila diberi amanah dia berkhianat" (HR. Bukhari & Muslim)

Bersikap adil dan tidak melakukan sesuatu kepada muslim lain kecuali apa yang ia sukai untuk diperlakukan kepada dirinya sendiri:
"Siapa yang ingin dijauhkan dari api Neraka dan masuk Syurga maka hendaklah dia mati dalam keadaan mengucap bahawa Tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, dan hendaklah dia memperlakukan orang lain dengan sesuatu yang disukainya jika dilakukan pada dirinya" (HR. Muslim)

Mendamaikan sesama muslim yang bersengketa jika menemukan jalan (penyelesaian) ke arah itu:
"Bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah hubungan di antara kamu kerana sesungguhnya Allah akan memperbaiki hubungan di antara orang-orang beriman di Hari Kiamat" (HR. Al-Hakim)

Menutup aib setiap muslim:
"Siapa yang menutup aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat" (HR. Muslim)

Menghindari tempat-tempat yang boleh mendatangkan fitnah demi untuk menjaga hati orang lain agar tidak berburuk sangka dan juga untuk menjaga lidah mereka agar tidak mengumpat:
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra bahawasanya Rasulullah SAW berbicara dengan salah seorang isterinya kemudian ada lelaki lalu dipanggil oleh Nabi SAW seraya berkata, "Ya Fulan, ini adalah isteriku Shafiyyah".

Membantu setiap muslim yang memerlukan pertolongan dan berusaha memenuhi pertolongan saudaranya itu sesuai kemampuannya:
"Sesungguhnya aku diberi dan diminta. Sering diminta kepadaku pertolongan sedangkan kamu ada di sisiku, maka ikutlah memberi bantuan agar kamu diberi pahala dan Allah SWT memutuskan apa yang dicintai-Nya melalui kedua tangan Nabi-Nya" (HR. Bukhari & Muslim)

Mengucapkan salam terlebih dahulu sebelum berkata kepada muslim lain dan menjabat tangan ketika memberi salam itu:
"Jika salah seorang di antara kamu bertemu dengan saudaranya maka ucapkanlah, Assalamu’alaikum warahmatulLah" (HR. Abu Dawud, Tirmidzi & an-Nasa’i)

"Tidaklah dua orang muslim bertemu lalu berjabatan tangan melainkan keduanya akan diampunkan (dosanya) sebelum mereka berpisah" (HR. Abu Dawud, Tirmidzi & Ibnu Majah)

Menjaga kehormatan jiwa dan harta saudaranya sesama muslim dari kezaliman orang lain apabila dirinya mampu membela dan menolong serta mampu memperjuangkannya sebab itu merupakan kewajiban baginya:
"Barangsiapa yang membela kehormatan saudaranya maka dia akan terlindung dari api Neraka" (HR. Tirmidzi)

Menjawab ucapan muslim lain yang bersin:
"Seorang muslim yang bersin dijawab jika dia bersin tiga kali dan jika (lebih dari tiga kali) maka itu adalah penyakit flu" (HR. Abu Dawud)

Memberi nasihat kepada setiap muslim dan bersungguh-sungguh ingin selalu memberikan kegembiraan ke dalam hati setiap muslim itu:
"Sesungguhnya salah seorang di antara kamu adalah cermin bagi saudaranya, jika dia melihat sesuatu (pada saudaranya) maka hendaklah dia membersihkannya" (HR. Abu Dawud & Tirmidzi)

Melawat muslim yang sakit:
"Siapa yang melawat orang sakit bererti dia duduk di taman-taman Syurga, jika dia hendak berdiri, maka ditugaskan tujuh puluh ribu malaikat yang mendoakannya sampai malam hari" (HR. al-Hakim)

Mengiringi jenazah orang muslim:
"Barang siapa yang mengiringi jenazah, maka akan mendapatkan pahala satu qirath. Jika dia berdiri sampai jenazah itu dikubur, maka dia mendapatkan pahala dua qirath" (HR. Bukhari & Muslim)

"Satu qirath seperti (berat/besarnya) bukit Uhud" (HR. Muslim)

Menziarah kubur orang muslim:
"Aku belum pernah melihat pemandangan yang lebih menakutkan dari kuburan" (HR. Tirmidzi, Ibnu Maajah, & al-Hakim)

Sumber : http://www.permaya.org/yaman

0 comments  

JAMAAH ITU KEPERLUAN UMMAH ITU TUJUAN

“SAYA kena sertai semua kumpulan. Kalau ikut satu sahaja, nanti jadi Jamaah Centric!”, kata seorang siswa.

“Lebih baik aku bebas. Tak terikat dengan mana-mana kumpulan. Mana-mana ada kelas pengajian, aku akan pergi. Ini baru Ummah Centric”, komen seorang pelajar pula.

Kebelakangan ini, isu Jamaah Centric Vs. Ummah Centric hangat diperbincangkan oleh masyarakat kita. Hal ini lebih ketara dilihat berlaku di kalangan masyarakat pelajar yang lebih dekat kepada sumber gagasan idea ini iaitu al-Fadhil al-Ustaz Maszlee bin Malik, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa. Pelbagai bentuk maklum balas yang timbul, sama ada dalam bentuk perkataan dan tulisan, mahu pun tindak tanduk yang mencetuskan satu senario di kampus hari ini.

Di peringkat awal, saya mengambil lontaran idea ini sebagai sesuatu yang wajar diberikan persetujuan, sekurang-kurangnya pada isi-isi utama yang diketengahkan melalui artikel di Majalah I. Pada saya, idea awal di bawah kerangka pemikiran Ummah Centric mempunyai tujuan yang harmoni iaitu ke arah keterbukaan pemikiran semua individu yang terlibat di dalam gerakan Islam untuk meraikan perbezaan pandangan sesama mereka, menuju kepada kepentingan makro iaitu maslahah Ummah sejagat. Saya boleh bersetuju di peringkat ini.

Akan tetapi, selepas menonton VCD ceramah Ustaz Maszlee bin Malik di rumah Kapten Hafiz Firdaus, saya menjadi keliru dan penerimaan saya terhadap idea tersebut terganggu. Saya menontonnya buat kali yang kedua, dan keserabutan fikiran saya akibatnya, makin ketara. Saya terpaksa mengambil masa yang panjang untuk menyusun cabang-cabang fikiran saya dan akhirnya, menulislah yang boleh menjadi cara terbaik untuk saya strukturkan kefahaman saya terhadap gagasan Ummah Centric yang dikemukakan oleh al-Fadhil ustaz.

Tambahan pula, Ustaz Maszlee bin Malik adalah rakan sepengajian saya. Kami saling mengenali semenjak 1993 dan saya menghormatinya sebagai seorang rakan yang ilmuan. Maka saya berusaha sedaya upaya untuk mengenengahkan analisa ini dengan tatasusila peribahasa Melayu kita, ”seperti menarik rambut di dalam tepung; rambut tak putus, tepung tak tumpah”. Mudah-mudahan apa yang saya tulis ini benar-benar dapat dibaca dengan bahasa dakwah dan diskusi ilmiah tanpa ada sebarang persepsi peribadi serta prejudis yang menyalahi kebenaran.

MERAIKAN PERBEZAAN

Keterbukaan kumpulan-kumpulan Islam untuk bertolak ansur terhadap perbezaan sesama mereka, adalah suatu tuntutan yang memang tidak dapat dinafikan. Ia menjadi kunci kepada sejauh mana mereka boleh memberi kesan yang berbekas di tengah masyarakat, dan sejauh mana masyarakat boleh memberikan kepercayaan untuk suara Islam memimpin arus perdana.

Saya percaya, keupayaan untuk bekerjasama di antara kumpulan-kumpulan Islam ini sudah pun terlaksana di peringkat pemimpin, malah menjadi pendekatan ‘rasmi’ bagi hubungan diplomatik antara kumpulan. Walau bagaimana pun, impian pemimpin untuk mewujudkan keharmonian antara kumpulan Islam di peringkat akar umbi, tidak semudah melakarkannya di atas kertas. Pergeseran berlaku dari semasa ke semasa, walaupun masing-masing sedar yang fenomena malang itu menjadi bahan ketawa golongan Islam liberal yang sinis.

Malah kadang-kadang kumpulan Islam ini menerima padah sehingga menjadi seperti Pak Pandir yang menang bersorak, tetapi kampungnya tergadai. Kumpulan Islam tumbang di kampus-kampus, dan berleluasalah maksiat dan hedonisma sebagai budaya kampus hari ini. Tiada lagi amar makruf dan nahi munkar, hasil kesalahan sendiri yang mempertaruhkan kampung, semata-mata mahu memenangkan ayam laga masing-masing.

Saya kira, mungkin inilah latar belakang kepada timbulnya idea Ummah Centric oleh al-Fadhil al-Ustaz Maszlee bin Malik. Beliau yang bertugas sebagai pensyarah universiti dan setiap harinya adalah bersama masyarakat kampus, tentu mahu melihat kepada penyelesaian fenomena yang merugikan ini. Saya suka untuk bersama dengan beliau di dalam niat yang murni itu.

Namun, tembakan peluru yang tidak menepati sasaran, akan hanya menghasilkan satu antara dua. Sama ada kita bazirkan peluru, atau paling malang, ada pihak lain yang tidak bersalah terbunuh akibat peluru sesat itu tadi. Ketika kita mahu merawat TAASUB ahli kumpulan kepada idea kumpulannya, yang tersinggung bukanlah SIKAP dan PEMIKIRAN TAASUB tersebut, tetapi konsep berkumpulan dan berJAMAAH itu yang menjadi mangsa peluru sesat berkenaan.

Lantas timbul idea Jamaah vs. Ummah. Apakah kepentingan Jamaah secara default bertentangan dengan kepentingan Ummah? Apakah yang boleh wujud hanyalah Ummah, manakala Jamaah pula menjadi batu penghalang kepada gagasan Ummah? Mengapa mesti Jamaah VERSUS Ummah? Mengapa tidak Jamaah DAN Ummah? Inilah yang cuba saya fikirkan, bahawa apakah ada kontra di antara kedua-duanya, lantas perlu memilih satu antara dua, atau saya perlu lari dari dua pilihan itu, dan sebaliknya berfikir di luar kotak?

Pertamanya, saya perlu memasang pasak, bahawa berjemaah itu bukan sahaja tuntutan Syariat, malah ia sebenarnya adalah Sunnatullah. Allah SWT telah menetapkan fitrah manusia yang berhajatkan kepada hidup berkumpulan. Sendirian itu sunyi, lantas Adam memerlukan kepada Hawwa. Sekumpulan itu sukar, lantas manusia berkumpul-kumpulan dan saling bertukar hasil untuk memenuhi keperluan hidup masing-masing. Kumpulan nelayan perlukan kepada kumpulan petani. Kedua-dua kumpulan itu perlu pula kepada kumpulan penternak, lantas hasil keperluan itu, timbulnya kumpulan peniaga yang konsep asalnya adalah untuk saling membantu mengisi keperluan sesama kita.

Itu adalah fitrah manusia yang perlukan Jamaah untuk mengisi keperluan hidupnya.

Islam sebagai agama fitrah, menjadikan konsep berjemaah itu sebagai kerangka teras ajarannya. Peranan manusia sebagai Khalifah adalah untuk mengimarahkan hablun minannaas. Kita saling berkhidmat di antara satu sama lain, kerana kita khalifah kepada Allah yang mahukan kita bersyukur kepada-Nya dengan melakukan kebaikan sesama manusia. Manakala kita sebagai hamba Allah, Islam mengajar kita menegakkan ibadah dan syiar agama-Nya secara berjamaah. Kita dituntut solat berjamaah, dan hidup bermasyarakat.

Hal ini terjadi secara harmoni, kerana ia fitrah manusia.

Fitrah manusia memang mahu hidup berkumpulan. Sama ada mereka mahu berkumpul kerana bersepakat di atas satu idea dan agenda, atau pun mereka berkumpul kerana bersepakat menolak satu idea dan agenda. Dari satu kumpulan, mereka lari ke satu ‘perkumpulan’ yang lain. Seorang manusia memang sebahagian daripada kumpulannya.

Bukan sahaja di dalam hal ehwal agama, keperluan manusia kepada kumpulan juga merentasi semua itu, malah bagi sesiapa sahaja yang kenal manusia, akan sampai kepada kesimpulan yang sama.

John C. Maxwell, seorang tokoh Leadership Training pernah menulis di dalam bukunya, EQUIPPING 101, bahawa, ‘”one is too small a number to achieve greatness“. Tidak ada kejayaan yang dicapai secara bersendirian hatta Lone Ranger juga sentiasa di sisinya ada Tonto!

Jika di dalam soal kehidupan dan keperluannya, manusia hidup secara berjamaah, maka apatah lagi untuk urusan-urusan menegakkan agama Allah.

Suatu kesilapan, seandainya ada di kalangan kita yang beranggapan bahawa tanggungjawab mereka hanyalah menambah ilmu dan mengajak kepada kebaikan. Kita tidak hanya dituntut melaksanakan perkara-perkara yang baik, malah kita juga diperintahkan oleh Allah supaya menjauhi larangan-Nya. Amar makruf tidak mungkin dapat dipisahkan daripada nahi munkar. Para Rasul dan kita semua diperintah bukan sahaja mengajak manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, bahkan kita juga bertanggungjawab memastikan diri dan manusia lain terhindar daripada Taghut, iaitu segala sesuatu yang berlawanan dengan Allah, Tuhan yang al-Haq.

Apabila kita bertanggungjawab terhadap dakwah, kita perlu akur kepada tabiat jalan dakwah itu, sebagaimana Luqman memberikan tanggapan yang realistik kepada anaknya, ketika menjelaskan tentang kewajipan dakwah. Ia bukan senang sentiasa, malah sentiasa dicemburui dan ditentang oleh manusia lain.

Firman Allah SWT:

“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah Solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.”

Realiti dakwah memang begitu.

Oleh kerana dakwah mempunyai tabiat yang sedemikian rupa, maka ia sekali lagi memerlukan kepada manusia yang memelihara fitrah diri mereka, iaitu melakukannya secara berjamaah. Mereka perlu merancang, membuat keputusan, melaksanakannya dan teguh terhadap kesan dakwah itu, secara berjamaah. Dalam erti kata yang lain, keperluan dakwah kepada Jamaah bukan sahaja datang dari perintah Allah yang Maha Mengerti akan hakikat manusia yang diCiptakan-Nya, malah melakukan dakwah secara berjamaah adalah fitrah.

Jika sudah bosan membaca tentang faedah bekerja secara berjamaah dari buah fikiran sesama Muslim, mari kita renungkan kepada pandangan John C Maxwell yang cuba menjelaskan kepada ‘jamaah’nya di gereja, ahli korporat di pejabat, malah ahli bagi sebuah keluarga, mengapa kita mesti berjamaah:

1. Teams involve more people, thus affording more resources, ideas and energy than would an individual.
2. Teams maximize a leader’s potential and minimize her weaknesses. Strengths and weaknesses are more exposed in individuals.
3. Teams provide multiple perspective on how to meet a need and reach a goal, thus devising several alternatives for each situation.
4. Teams share the credit for victories and the blame for losses. This fosters genuine humility and authentic community.
5. Teams keep leaders accountable for the goal.
6. Teams can simply do more than an individual.

Tegasnya, di antara sudut kesempurnaan ciptaan Allah terhadap manusia, terletak kepada kepatuhannya memelihara fitrah, bahawa manusia hidup berjamaah.

UMMAH CENTRIC VS. JAMAAH CENTRIC: PELURU YANG TERLEPAS SASAR

Ketika idea ini dikemukakan oleh al-Fadhil al-Ustaz Maszlee Malik di melalui artikelnya di Majalah I, saya lihat hala tujunya menjurus kepada sasaran yang betul. Apa yang banyak ditegaskan melalui artikel itu adalah soal membetulkan pemikiran agar tidak terbelenggu oleh kepentingan Jamaah. Sebaliknya semua orang mesti sedar bahawa dirinya dan jamaahnya adalah sebahagian daripada Ummah. Maka keperluan dan kehendak Ummahlah yang sepatutnya diberikan keutamaan. Dengan itu kita akan berhenti bergeseran sesama Jamaah, atas roh Ummah yang menjadi pegangan.

Akan tetapi, apabila idea tersebut dicanaikan melalui ceramah yang disampaikannya di kediaman al-Fadhil al-Akh Hafiz Firdaus, saya berubah pandangan. Saya cuba meletakkan diri saya di tempat pelajar yang mendengar ceramah tersebut, dan saya menjadi keliru. Subjek yang menjadi sasaran dan kritik bukan lagi pada permasalahan SIKAP TAASUB setiap kumpulan terhadap kumpulan lain, tetapi kepada konsep berjamaah itu sendiri.

Mungkin al-Fadhil Maszlee tidak bermaksud demikian, tetapi kesan ceramahnya menyebabkan pelajar sinis dan memandang rendah kepada semua kumpulan Islam yang wujud di kampus malah di tengah masyarakat. Ketawa sinis penceramah dan peserta terhadap beberapa senario Jamaah, ternyata mengheret perkumpulan Islam untuk berasa amat tersinggung, seolah-olah Jamaah dan kumpulan Islam, adalah pelakon drama komedi yang lawaknya lucu tetapi menyusahkan orang ramai.

Saya kira, isteri dan anak-anak kepada tahanan ISA, keluarga pendakwah yang terbunuh di Memali malah al-Syahid Sayyid Qutb yang hilang nyawa di tali gantung, terpaksa menempuh segala kesusahan hidup itu akan amat terguris hati mereka kerana impression yang terhasil dari ceramah tersebut ialah, pengorbanan selama ini, hanyalah bagi menjayakan drama lucu Jamaah Centric mereka!

Saya teringat kepada kisah seorang artis Hollywood yang terpilih untuk menjadi pengacara sebuah program anugerah. Lawak jenakanya sangat menghiburkan dan dia telah berjaya menghidupkan program tersebut sehingga beroleh pelbagai komen positif media dan rakan. Tetapi apabila beliau bertanyakan pandangan ayahnya, beliau menjawab, “YOU HURT TOO MANY PEOPLE!“. Ya, lawak yang sinis selalunya menghiris.

Apabila manusia yang fitrah perlu kepada Jamaah untuk merealisasikan keperluan dan tujuan hidupnya, maka mereka perlu kepada disiplin dan adab berjamaah. Soal komitmen (intima’), disiplin bekerja, dan kerahsiaan organisasi (sirr), adalah hasil pelajaran ahli gerakan Islam daripada dakwah pertama oleh Rasulullah SAW. Ia bukan idea-idea budak kampus. Namun, kelakuan-kelakuan mikro oleh pelajar di kampus, menjadi bahan sanggahan konsep Amal Jama’ie yang makro. Kerana mahu menyindir anak kecil di padang, ibu di rumah turut terkena.

Perbalahan antara perkumpulan Islam bukanlah berpunca daripada konsep Amal Jama’ie. Ia adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR.

Sepatutnya Ummah Centric dan Jamaah Centric memfokuskan pembetulan mereka kepada persoalan SIKAP itu tadi. SIKAP yang ada pada semua kumpulan Islam, dan bukannya menyalahkan Jamaah. Jangan kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar.

SIKAP dan CARA BERFIKIR yang saya sebutkan tadi, bukan sahaja mencetuskan pelbagai masalah di kalangan pendukung gerakan Islam, malah ia mencakupi seluruh aspek kehidupan kita termasuklah kepada persoalan berMAZHAB. Mungkin artikel PAKSI ISLAM: SYAKHSIAH ATAU HUJAH? yang pernah saya tulis, boleh menjelaskan secara panjang lebar tentang hal ini.

Jika SIKAP dan CARA BERFIKIR yang berpenyakit itu tidak diperbetulkan, ia hanya mengundang kepada bercambahnya masalah asal yang ingin dihapuskan.

Misalnya, isu MAZHAB. Kita cuba merawat penyakit Taasub kepada Mazhab yang banyak menimbulkan masalah kepada Ummah. Tetapi yang kita perbetulkan adalah maklumat tentang mazhab, dan bukannya SIKAP. Lantas, daripada sekumpulan manusia yang obses dengan al-Imam al-Syafie, timbul pula sekumpulan manusia yang obses dengan al-Imam Ibn Taimiyah. Daripada wujud hanya satu kumpulan manusia taasub, muncul pula dua kumpulan manusia taasub yang berlaga sesama sendiri.

Mengapa hal ini boleh terjadi? Pada kiraan saya, masalah bukan terletak pada MAZHAB, sebaliknya pada SIKAP dan CARA BERFIKIR yang salah. Mereka yang meninggalkan mazhab, beralih kepada al-Imam Ibn Taimiyah dengan membawa gerabak SIKAP yang sama. Taasub lawan Taasub, Islam Liberal juga yang akhirnya tersenyum gembira!

Apabila al-Fadhil al-Ustaz Maszlee Malik mengolah ceramah Ummah Centricnya seperti yang saya tonton melalui VCD tersebut, ia menjatuhkan maruah semua kumpulan Islam yang ada. Akibatnya, masyarakat pelajar akan lari daripada semua kumpulan Islam tersebut, dan berkumpul mengelilingi Ustaz Maszlee. Mereka lari dari semua Jamaah untuk berkumpul membentuk ‘Jamaah’ baru. Walaupun kumpulan bebas-jamaah ini tiada nama, namun watak dan cara berfikir mereka akan membuat pusingan yang sama iaitu taasub menolak Jamaah-jamaah lain, sehingga tanpa disedari membentuk satu kumpulan yang tidak berjamaah secara taasub. Maka daripada tiga, empat atau lima pergeseran, bertambah pula menjadi enam pergeseran.

Mengapa semua itu terjadi? Puncanya terletak pada peluru yang hilang sasar. Ummah itu rumah, Jamaah itu kelambu, sedangkan yang mengganggu ahli rumah tersebut adalah nyamuk. Maka nyamuklah yang sepatutnya dibanteras.

Nyamuk yang mengganggu Ummah adalah SIKAP NEGATIF dan CARA BERFIKIR yang salah.

Ada nyamuk jamaah yang menyalahgunakan nas untuk membuat justifikasi terhadap kebenaran jamaahnya. Namun, bukan Jamaah yang salah, bukan nas yang lemah, tetapi nyamuk yang buat perangai. Dr Izzat Khalil al-Azizi ketika memberikan nasihatnya kepada gerakan-gerakan Islam melalui buku Nasaa’ih wa Taujihaat al-Mufakkireen wa Ulama’ a-Islaam li al-Jamaa’aat wa al-Ahzaab al-Islaamiyyah terbitan al-Maktabah al-Islaamiyyah, Jordan, telah mengambil pendekatan yang realistik.

Beliau menyeru kepada semua gerakan Islam agar berSIKAP terbuka (infitaah) terhadap sesama gerakan Islam dan tidak menyempitkan pemahaman Jamaah di dalam nas Hadith sebagai merujuk kepada Jamaah masing-masing. Hal ini juga selaras dengan seruan Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi yang mesra dengan pelajar Malaysia di Jordan, yang sebahagiannya adalah saya dan al-Fadhil Maszlee Malik sendiri.

SIKAP yang sepatutnya diperbetulkan, dan bukannya konsep Jamaah.

Ada nyamuk jamaah yang tidak memanipulasi nas, sebaliknya mencubit gigit rakan-rakan gerakan Islamnya yang lain, lebih dari gigitannya terhadap musuh sebenar. Entiti diri sebagai sebuah NGO dan badan berdaftar sepatutnya menjadi pendekatan yang mengkayakan pengalaman sesama gerakan Islam, dan bukannya menjadi hujah untuk menyindir rakan yang ‘ditolak pendaftarannya’ kerana sering derita menanggung risiko dakwah.

“Itulah engkau, buat lagi kerja macam tu, kan dah kena tindakan. Tengok aku, aku join NGO, dakwah dapat buat, risiko tak dapat. Baru selamat!”, ujar ahli NGO kepada sebuah kumpulan yang tiada nombor pendaftaran.

Semua ini adalah sikap-sikap yang sepatutnya menjadi sasaran pembetulan oleh gagasan “Ummah Centric vs. Jamaah Centric“.

Kumpulan-kumpulan Islam di kampus sewajarnya mengajak sokongan melalui pembuktian upaya dirinya, berbanding sandaran terhadap kelemahan kumpulan lain. Sikap yang lebih pro aktif, sihat dan meletakkan mesej Islam sebagai keutamaan adalah jaminan kepada keharmonian kumpulan mikro manusia sebagai Jamaah, dan kumpulan makro manusia sebagai Ummah.

Lebih menghairankan saya ialah apabila Ummah Centric dituduh sebagai cetusan fahaman Wahhabiyyah, manakala Jamaah Centric dikaitkan dengan pengaruh kesufian. Aduh, apa kena mengenanya Muhammad bin Abdul Wahhab dan jalan sufi itu dengan KANSER SIKAP kita?

Saya masih ingat kepada satu siri talk show yang dikendalikan oleh Oprah Winfrey. Isu kali itu adalah tentang Racism. Menariknya ialah, ramai Black American meletakkan mind setting mereka bahawa jika mereka tidak mendapat pekerjaan atau mengalami kegagalan tertentu, maka puncanya adalah kerana mereka Black! Walhal mereka memang tidak layak untuk jawatan tersebut.

Ada juga orang Islam di Eropah yang menganggap bahawa mereka dipinggirkan oleh masyarakat kerana Islamnya mereka. Sedangkan mereka sendiri yang hidup berkelompok dan enggan berinteraksi dengan persekitaran.

Nasib kita macam ini sebab kita bumiputera. Pada hal kita yang malas berusaha.

Dia itu Ummah Centric, sebab dia Wahabi.

Yang ini pula Jamaah Centric, sebab dia Sufi.

Saya hampir lumpuh kewarasan diri akibat karenah pemikiran yang seperti ini!

Berjamaahlah, kecemerlangan itu kuncinya pada berjamaah. Simenkan satu Jamaah dengan satu jamaah yang lain dengan simen ukhuwwah dan pemikiran yang God-Centered. Hasil gabungan semua itulah nanti yang akan membentuk Ummah.

Kuncinya adalah pada meletakkan ALLAH sebagai matlamat. Tanpa God-Centered, sama ada kita akan menjadi self-centered, atau larut sebagai social-centered.

Jamaah itu keperluan, Ummah itu tujuan. Mestikah ada pertembungan?

“Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya” [al-Quran 42: 13]

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

1 comments  

Ringkasan Video Muktamar

Atas permintaan JK yang tak dapat melihat gimik perasmian kerana bertugas...
Tapi, ini version pendek dan banyak gambar yang dibuang... Kalau version perasmian, boleh minta dengan mantan ICT ...

0 comments  

KEBERSAMAAN MENUJU HARAPAN BARU

Besar sungguh , ujian pada diri ana untuk menerima taklifan sebagai peneraju sebuah organisasi yang masih lagi berenang-renang menuju ke seberang matlamat yang terlalu jauh, namun ianya telah dipermudahkan laluan oleh 'perahu' yang terlebih dahulu mendayung menuju ke sana. Di sini ana mengucapkan tahniah & takziah kepada semua AJK baru dilantik, manakala yang masih lama syabas anda masih lagi diberi peluang untuk bersama sekali lagi bekerja bersama-sama.

Bagi yang tidak terpilih, ana harap antum tidak meninggalkan terus gerakkerja yang telah diaturkan selama ini, kita ibaratkan sedang menyiap sebuah perahu besar, kadang-kadang alatan untuk membuatnya tidak mencukupi, tukang-tukangnya adakala merehatkan diri sementara mencari idea untuk menyiapkan perahu ini dengan cepat dan baik. Semua orang yang akan menaiki perahu ini semestinya mahu meneruskan perjalanan dengan selamat, lebih-lebih lagi si pembuatnya. Alangkah baik kita bergabung bersama si tukang dan penumpang untuk melancarkan lagi kehendak dan keperluan dalam menyudahkan perahu tersebut.

Bagi semua ahli, ana harap bantulah kami dalam meneruskan agenda yang telah ditetapkan di dalam ucapan dasar tersebut, ana harap kita semua dapat melaksanakan apa yang telah dijanjikan di dalam muktamar tempoh hari.

Wallahu alam, siru ala barakatillah..............

0 comments  

TAHNIAH & TAKZIAH

Alhamdulillah, selesainya muktamar menyaksikan beberapa muka lama dan baru bergabung satu hati memikul amanah dakwah yang ditaklifkan, insyaAllah. Tahniah dan terutamanya takziah. Berikut adalah keputusan pemilihan JK Kelab Fasi bagi sesi 2008/2010;

Pengerusi : Mohd Aswadi Mohamad
T. Pengerusi 1 : Afnanuddin Anuar
T. Pengerusi 2 : Daing Siti Nor Baity Abd Latif
Setiausaha : Ust Ridhuan Abdullah
Pen SU : Nurul Syadiah Saari
Bendahari : Wan Norsiha Wan Ibrahim

AJK

Wan Mohd Ikhwan Wan Ariff
Halimi Abdullah
Zaidan Abdullah
Mohd Sukeri Ambak
Mohd Shukri Abd Rahman
Mohd Khairuddin Abdul Wahab
Latifah Ngah
Nor Fazreen Che Rashid
Hidayah Ali
Nurul Fathia Ayuni Mohd Fauzi
Khairunnajjah Mohd
Riznira Hairani Abd. Rashid

* Penetapan jawatan ketua biro telah pun dibuat, dan masa diberi selama sebulan untuk sebarang petisyen atau permohonan.

Semoga kalian dapat meneruskan usaha yang diberkati Allah.

0 comments  

PENGUMUMAN PENTING

Dimaklumkan kepada semua ahli Kelab Fasi Terengganu dan bakal ahli, untuk muktamar yang akan berlangsung pada 19 Mei ini, sistem pemilihan akan dijalankan secara undian. Sekiranya anda belum menghantar borang keahlian, anda tidak dibenarkan mengundi pada waktu tersebut. Untuk mengisi borang, klik sini atau dengan memuaturun borang pada kotak bahan edaran hijau di sebelah bawah.


Sekian, dimaklumkan.

0 comments  

MUKTAMAR

Salam ni yang confirm hadir dengan ana

Muslimin
Saifudin (abg din)
Ishak
Sufri
Kamal JKR
Hadi
Wahi
Azemi (Ustaz)

X leh hadir
Sabri (poli) - ada program di KB
Nasrah ( duk Maktab lagi)

1 comments  

Peta ke Muktamar

Klik untuk paparan besar

0 comments  

Tamrin Darussalam 2008

Satu program tamrin untuk pelajar-pelajar Tahun 4, 5 dan pengawas Maahad Darussalam akan diadakan seperti berikut;

Tarikh : 22 - 24 Mei 2008 (Khamis- Sabtu)
Tempat : Maahad Darussalam, Losong, Kuala Terengganu
Bilangan peserta : 83 orang
Fasilitator : Abd. Hadi Harun, Wan Mohd Hazwan, Daing Mohd Fadzil,
Wan Norsiha, Huda, Maryam Fatini & Siti Sofiah

* Penyertaan sebagai fasilitator masih dibuka. Ada 2 lagi kekosongan.

0 comments  

Sejenak Bersama...


Satu program ringkas, Sejenak Bersama Kelab Fasi Terengganu akan diadakan seperti berikut;

Tarikh : 10 Mei 2008 (Sabtu)
Masa : 9.00 - 12.00 Tengahari
Tempat : Surau Sri Wangi, Pengadang Baru
Sasaran : Ahli baru dan lama serta yang berminat untuk menyertai kelab ini.
Yang ada masalah pengangkutan, sila hubungi; Siha : 013-923 6312

0 comments  

Seminar Kepimpinan SMK Kompleks Gong Badak

0 comments